Monday, 22 March 2010

Isu Hukuman Sebat @ Rotan Ke Atas Wanita: Kartika & 3 Wanita

Seperti yang kita tahu, isu hukuman sebat kepada pesalah minum arak iaitu Kartika yang suatu ketika dahulu telah menarik perhatian pelbagai pihak untuk memberikan pandangan dan komen masing-masing. Di bawah hukum Islam, kesalahan meminum arak adalah diletakkan di bawah hukum hudud, iaitu satu hukum yang dinaskan mengikut Al-Quran dan Hadis Rasulullah s.a.w.

Apabila asasnya adalah nas, maka ianya adalah aspek agama Islam yang wajib untuk dilaksanakan kepada penganutnya kerana ianya berkait dengan tanggungjawab antara manusia dengan Tuhan, antara dosa pahala serta pembalasan di hari akhirat. Jika bersandarkan kepada nas, maka hukuman ke atas peminum arak untuk penganut Islam setelah sabit kesalahan ialah sebatan antara 40 – 80 rotan jumlahnya.

Sementara itu, pada tanggal 9 februari yang lalu, Malaysia sekali lagi digemparkan dengan isu tindakan Kementerian Dalam Negeri yang merotan 3 wanita atas kesalahan mengadakan seks haram ataupun kita kenali sebagai zina. Dalam Islam, hukuman ini bukan bersifat untuk menyeksa tetapi bersifat mendidik pelaku kesalahan serta mendidik masyarakat awam supaya gerun untuk melakukan perbuatan itu lagi. Aspek pencegahan inilah yang perlu ada dalam melaksanakan hukuman dalam undang-undang Islam. Sudah termaktub di dalam ayat Al-Quran maksudnya:

“Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali sebat; dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap keduanya dalam menjalankan hukum agama Allah, jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat; dan hendaklah disaksikan hukuman seksa yang dikenakan kepada mereka itu oleh sekumpulan orang-orang yang beriman (-percaya dan yakin pada Allah rujuk Rukun Iman dalam Islam)” [An-Nur: 02]


Artikel Dari

Lajnah Integrasi & Perpaduan

PPI UNITEN

No comments:

Post a Comment